Mualaf menyamar Datuk Seri dicekup
KUANTAN: Kelicikan seorang mualaf menyamar sebagai Datuk Seri dipercayai menjalankan kegiatan penipuan berakhir apabila dia ditahan ketika cuba melarikan diri dengan sebuah teksi di Jalan Tun Ismail, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 2 petang itu, lelaki berusia 53 dari Cheras, Kuala Lumpur itu, cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran sepasukan polis daripada Unit Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.
Sebelum itu, sepasukan anggota D9 menerima maklumat mengenai seorang lelaki yang berada di sebuah bank di Jalan Tun Ismail selama tiga hari berturut-turut.
Polis yang membuat pemeriksaan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di institusi kewangan itu melihat lelaki terbabit seperti sedang menunggu seseorang.
Polis yang mengesyaki kemungkinan lelaki itu akan melakukan samun terhadap bank berkenaan membuat risikan untuk mengumpul maklumat sebelum mendapati suspek menginap di sebuah hotel berhampiran institusi kewangan itu.
Difahamkan, polis membuat serbuan di sebuah bilik hotel berkenaan namun lelaki terbabit sudah melarikan diri kerana mengetahui kehadiran polis.
Dalam serbuan itu, polis menahan isteri kedua lelaki terbabit bersama dua orang kanannya sebelum isteri wanita itu memaklumkan suaminya sudah melarikan diri ke sebuah pusat beli-belah.
Polis mengejar lelaki terbabit dan menahannya ketika cuba mendapatkan sebuah teksi sebelum dibawa semula ke hotel berkenaan.
Bagi meyakinkan polis, suspek memberitahu dia bergelar Datuk Seri sebelum menunjukkan kad ahli Diraja Kedah yang dipercayai palsu.
Curiga dengan dakwaan itu, polis membuat semakan dengan Istana Kedah dan mengesahkan nama lelaki terbabit tidak pernah direkod sebagai penerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk Seri.
Pada masa sama, polis turut menemui beberapa album gambar lelaki itu bersama orang kenamaan termasuk seorang bergelar Datuk Seri dari Terengganu selain beberapa helaian akhbar yang menyiarkan kisahnya hadir dalam majlis sumbangan untuk mualaf pada 2008.
Berikutan itu, polis menahan lelaki terbabit bersama isteri dan dua orang kanannya dan merampas sebuah kereta mewah BMW yang dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) untuk siasatan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abd Ghani ketika dihubungi di sini, semalam, mengesahkan penahanan lelaki terbabit dan kes itu diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial kerana melakukan penipuan dengan cara penyamaran.
Menurutnya, siasatan mendapati, lelaki itu mempunyai tujuh rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan pemerasan.
“Bagaimanapun, polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kes terbabit mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan,” katanya.
Category: Berita Tempatan

Komen anda pula